Kerana Cintaku Saerah



Drama terbitan Radius One Sdn Bhd yang mengisi slot Samarinda di TV3 ini mula mendapat tempat di hati aku. Kerana apa? Jibek? Nomi? atau Saerah itu sendiri? Mungkin kerana jalan ceritanya yang menarik ditambah dengan lakonan mantap Benjy sebagai Jibek di samping persekitaran kampung yang indah mata memandang. Secara ringkasnya cerita ini mengenai pengorbanan seorang insan terencat akal bernama Jibek yang mencintai seorang gadis bernama Saerah (Umie Aida). Kehidupan Jibek yang aman damai di kampung tiba-tiba diganggu dengan kehadiran seorang lelaki dari Kuala Lumpur. Mus (Ezani) adalah seorang pelakon yang berkawan dengan Yatie (Sharifah Shahora) iaitu rakan baik kepada Saerah. Kehadiran Mus mencuri perhatian Saerah ditambah dengan cita-citanya untuk menjadi pelakon terkenal. Mus mengambil kesempatan ini untuk memikat hati Saerah dengan janji-janji manis untuk menjadikannya seorang pelakon terkenal di Kuala Lumpur. Jibek yang dapat melihat niat jahat Mus telah beberapa kali cuba untuk menyelamatkan gadis kesayangannya itu namun akhirnya dia sendiri dibenci oleh Saerah. Akhirnya Saerah lemah dibawah pujukan Mus hinggakan terlanjur dan mengandungkan anak. Mus kemudiannya meninggalkan gadis kampung itu tanpa sebarang berita. Demi menutup malu Jibek dijadikan pak sanggup namun cita-cita Saerah masih tidak padam. Dengan pujukan Yatie, Saerah meninggalkan Jibek dan anak yang baru dilahirkannya untuk meneruskan cita-cita di Kuala Lumpur bersama-sama dengan Mus.

Menarik bukan? Cerita selanjutnya perlukan anda untuk menonton drama ini pada setiap hari Rabu dan Khamis jam 10.30pm.

No comments: